Friday, January 15, 2010

Gotong Royong Prasekolah SKDOJ





Pada tarikh 10 Januari 2010 (Ahad), satu gotong royong telah diadakan di Prasekolah SKDOJ. Gotong royong ini melibatkan pembabitan guru prasekolah, PPM dan ibu bapa murid-murid prasekolah. Gotong royong bermula pada pukul 9.00 pagi sehingga pukul 1.00 tengahari. Antara kerja-kerja yang berjaya dilaksana dan disiapkan adalah seperti mengecat kotak bunga (planter box), mengecat kolam, membersih taman sains, membersih sekitar bangunan prasekolah dan menatarias dalam bilik kelas.
Para ibu bapa yang hadir juga telah berbesar hati membawa juadah-juadah bagi tujuan jamuan ringan untuk gotong royong ini. Para ibu bapa juga telah bersungguh-sungguh dalam menjayakan gotong royong ini. Disamping dapat mencantikkan lagi prasekolah ini, gotong royong ini juga menjadi satu platform untuk ibu bapa beramah mesra diantara satu sama lain. Adalah diharapkan juga pada masa-masa akan datang banyak program-program yang bermanfaat dapat dijalankan demi kebaikan prasekolah ini.
Akhir kata saya bagi pihak Prasekolah SKDOJ ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan gotong royong ini. Terima kasih daun keladi ,ada masa tolonglah lagi. Sekian.

Tuesday, January 5, 2010

Hari Pertama Prasekolah 2010





Pada tarikh 4 Januari 2010, sesi persekolahan bermula. Pada tahun ini kelas saya iaitu Prasekolah Bestari telah menerima seramai 25 orang pelajar yang terdiri dari mereka yang berumur 5 dan 6 tahun. Majoriti adalah berbangsa melayu hanya terdapat seorang pelajar berbangsa india.
Seperti biasa terdapat pelajar-pelajar yang gembira, sedih dan ada pula yang menangis. Pada tahun ini terdapat 2 orang pelajar yang menangis dan seorang pelajar yang tidak mahu mendengar arahan. Kebiasaannya perkara seperti ini hanya bersifat sementara sahaja. Mungkin dalam sehari dua sahaja. Apabila mereka telah mendapat kawan baru, ianya akan bertukar kepada keseronokan untuk menghadiri kelas. Tiada lagi tangisan, apa yang ada hanyalah kegembiraan.

Mengecat Prasekolah





Pada tarikh 25 Disember 2009, saya sekeluarga telah bergotong-royong mengecat kelas Prasekolah Bestari SK Dato' Onn Jaafar. Cat-cat telah dibekalkan oleh pihak PPD Petaling Perdana. Saya mengambil keputusan untuk mengecat sendiri kelas setelah memikirkan bahawa dengan mengecat sendiri, kos untuk upah mengecat tidak perlu dikeluarkan lagi.
Suami saya telah menyatakan kesanggupannya untuk mengetuai gotong-royong mengecat kelas saya ini. Dengan teknik-teknik mengecat yang betul, alhamdullillah satu kelas ini dapat disiapkan dalam masa tiga hari. Saya amat berpuashati dengan hasilnya, nampak kemas dan cantik. Sekian.

Tuesday, August 11, 2009

Karnival Prasekolah Zon MPSJ 2009


Pada tarikh 8 Ogos 2009, Karnival Prasekolah Zon MPSJ telah diadakan bertempat di Sekolah Kebangsaan Puchong Indah. Prasekolah saya iaitu Prasekolah SK Dato' Onn Jaafar telah mengambil bahagian dalam acara Nyanyian dan Gerakan dan juga acara Hafazan.
Pada tahun ini Pasekolah saya tidak mengambil bahagian dalam acara Tarian Rampai seperti tahun-tahun sebelumnya. Walaupun begitu, pelajar-pelajar tetap dapat didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang sihat dan dapat mengcungkil potensi-potensi yang ada didalam diri mereka.Walaupun tidak menang, pelajar-pelajar kelihatan ceria dan saya sangat berpuashati dengan kesungguhan mereka. Para ibubapa juga perlu diberi pujian kerana mereka juga memberi sokongan kepada anak-anak mereka. Syabas semuanya.

Tuesday, July 7, 2009

Penyakit kaki, tangan dan mulut.

Pada 6/7/2009, dua orang pelajar dari Prasekolah SK Dato' Onn Jaafar telah disahkan menghidap penyakit kaki, tangan dan mulut. Pada minggu sebelumnya pelajar-pelajar berkenaan telah mengalami demam panas. Pada hari berikutnya pihak PPD dan JPN telah datang ke sekolah bagi tujuan membuat tinjauan dan pemeriksaan. Kami telah diminta untuk mencuci dan membersihkan barangan yang biasa digunakan oleh pelajar-pelajar prasekolah.
Pelajar-pelajar prasekolah telah dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah pada tarikh 8/7/2009. Seterusnya kami telah dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kesihatan bahawa keadaan adalah terkawal dan pelajar-pelajar boleh kembali bersekolah pada 9/7/2009.
Sekian.

Thursday, June 18, 2009

Kenapa Prasekolah?


Mendidik kanak kanak memang menjadi cita-cita saya sejak kecil. Tak sangka pula saya dapat juga mencapainya dikala ini. Memang seronok melihat perkembangan kanak-kanak dari dia tak tahu membaca sehinggalah dia dapat membaca dengan lancar. Juga saya dapat membentuk sikap-sikap kanak menjurus kepada sikap yang baik. Rasa bangga dan puas bila melihat kanak kanak yang kita didik berkembang potensinya.
Atas dasar cintanya saya pada dunia pendidikan awal kanak-kanak maka saya bertekad untuk menyambung pelajaran saya di peringkat Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UM. Pada mulanya agak berbelah bagi samada nak terima ke tidak tawaran tersebut, ye lah takut tak terbawa pula dengan komitmen kerjaya sebagai guru. Tapi atas dorongan suami, saya telahpun berada di tahun akhir pengajian. Syukur alhamdulillah.
Bagi saya potensi bidang pendidikan awal kanak-kanak memang amat baik kini. Kerana dengan adanya program PERMATA yang telah dilancarkan, maka pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia telah diberi penekanan yang sewajarnya. Bagi anda diluar sana ceburilah bidang ini.

Saturday, May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU



Alhamdulillah Hari ini Kita sekali lagi menyambut Hari Guru....Kepada semua guru-guru di Malaysia..Selamat menyambut Hari Guru...Setiap hari adalah hari kita...Teruskan usaha anda mendidik anak bangsa kita...Semoga kelak anak-anak kita terus berjaya dia dunia dan akhirat...